SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN YANG KE 51 buat semua pembaca blog ini terutamanya rakyat Malaysia. Setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara kita, tentu lagu Tanggal 31 akan sering diputarkan di corong radio mahu pun disiarkan di kaca televisyen. Sesungguhnya lagu itu sudah sinonim dengan perayaan kemerdekaan seperti juga lagu 'Dendang Perantau' dan 'Selamat Hari Raya' dendangan seniwati Saloma yang juga sinonim apabila tiba hari raya. Beberapa hari yang lepas, Anggun ada mendengar siaran radio swasta berbahasa Inggeris yang memutarkan sebuah lagu yang berunsur patriotik juga. Sebuah lagu lama yang agak jarang juga diputarkan iaitu lagu 'Saya Anak Malaysia' dendangan Dr. Sam begitulah yang disebut oleh juruhebah radio berkenaan.
Satu lagi yang menarik perhatian Anggun untuk diperkatakan dalam blog ini ialah apa yang Anggun baca dalam blog Tun Dr. Mahathir tentang mengenang jasa - jasa dan pengorbanan orang - orang terdahulu. Walaupun Anggun tidak membacanya sehingga habis kerana Anggun curi - curi membaca blog itu ketika waktu bekerja. Sejak akhir -akhir ini Anggun lihat kita sudah lupa dengan usaha - usaha orang -orang terdahulu daripada kita. Keharmonian dan kedamaian yang kita kecapi selama ini seakan semakin pudar. Anggun sedih melihat bangsa Anggun sendiri bertelingkah sesama sendiri sehinggakan seorang pensyarah daripada universiti tempatan yang berbangsa bukan Melayu mengakui keadaan ini. Malah ujarnya perkara ini hanya merugikan negara kerana bangsa Melayu itu sendiri tunjang kepada negara Malaysia. Jika ianya berlarutan akan memudaratkan. Anggun berharap bangsa Melayu akan terus mempertahankan kedaulatan bangsa kita dan segala warisan yang telah kita warisi selama ini. Semoga Malaysia akan kekal aman dan stabil. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
No comments:
Post a Comment