Ke hadapan Aleef,
Sukar merungkaikan apa yang tersimpan di lubuk hati ini. Berat betul rasanya untuk melafazkan dengan kata-kata lalu aku memilih untuk meluahkannya melalui cara ini. Ya, dengan menulis sepucuk warkah untukmu. Masih ingat lagi aku di kala pertemuan kita yang pertama. Hari itu adalah hari pendaftaran kita sebagai pelajar baru program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Bagi dirimu kampus itu tidak asing lagi kerana kau pernah mengikuti program Diploma Perakaunanmu di situ. Namun tidak bagiku, aku berasal dari kampus yang lain maka pada hari itu aku sedikit gementar dan tidak terurus kerana belum kenal selok belok kampus kita. Aku memang tidak memikirkan hal lain selain menguruskan dengan cepat urusan pendaftaran terutamanya pendaftaran kolej. Aku begitu risau kerana surat tawaran menyatakan yang pelajar Ijazah tidak akan diberikan kemudahan penginapan kolej. Aku tahu kau dan rakan – rakan kau sedang memerhatikan aku ketika pendaftaran di pejabat kolej. Oleh kerana terlalu kerisauan, aku biarkan saja kau dan rakan – rakan kau yang memerhatikanku sambil tersengih –sengih seperti kerang busuk. Kalau tidak, sudah tentu kau dan kawan – kawan kau akan dimaki hamun olehku. Iyalah, bukan sahaja tidak mahu membantuku malahan mengganggu laluanku. Setelah selesai urusan pendaftaran, aku duduk sebentar di bangku gazebo yang terletak di antara dua blok kolej siswa. Penat.