Friday, December 26, 2008

Hero

Lalu Syafi mengangkat pena bermata bulat berdakwat hitam jenama Kilometrico itu dari atas permaidani bulu bebiri berwarna hitam putih bercorak seakan – akan corak badan kuda belang. Tersengih dia melihat permaidani itu tatkala dia mengingati permaidani pemberian Suri. Syafi telah memaksa Suri membelikan permaidani itu untuknya sebagai buah tangan ketika Suri pergi ke Turki atas urusan kerjanya. Pandai Suri memilih permaidani itu, getus Syafi dalam hati. Suri telah dianggap Syafi seperti adiknya sendiri malah Suri sendiri memanggil Syafi dengan panggilan Kak Sya. Syafi meletakan pena dakwat hitam itu di atas meja tulis. Kemudian Syafi mencapai beberapa helaian kertas kajang yang telah dikoyakan dari bukunya. Syafi mula mencoret sepatah demi sepatah perkataan.

Ke hadapan Aleef,


Sukar merungkaikan apa yang tersimpan di lubuk hati ini. Berat betul rasanya untuk melafazkan dengan kata-kata lalu aku memilih untuk meluahkannya melalui cara ini. Ya, dengan menulis sepucuk warkah untukmu. Masih ingat lagi aku di kala pertemuan kita yang pertama. Hari itu adalah hari pendaftaran kita sebagai pelajar baru program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Bagi dirimu kampus itu tidak asing lagi kerana kau pernah mengikuti program Diploma Perakaunanmu di situ. Namun tidak bagiku, aku berasal dari kampus yang lain maka pada hari itu aku sedikit gementar dan tidak terurus kerana belum kenal selok belok kampus kita. Aku memang tidak memikirkan hal lain selain menguruskan dengan cepat urusan pendaftaran terutamanya pendaftaran kolej. Aku begitu risau kerana surat tawaran menyatakan yang pelajar Ijazah tidak akan diberikan kemudahan penginapan kolej. Aku tahu kau dan rakan – rakan kau sedang memerhatikan aku ketika pendaftaran di pejabat kolej. Oleh kerana terlalu kerisauan, aku biarkan saja kau dan rakan – rakan kau yang memerhatikanku sambil tersengih –sengih seperti kerang busuk. Kalau tidak, sudah tentu kau dan kawan – kawan kau akan dimaki hamun olehku. Iyalah, bukan sahaja tidak mahu membantuku malahan mengganggu laluanku. Setelah selesai urusan pendaftaran, aku duduk sebentar di bangku gazebo yang terletak di antara dua blok kolej siswa. Penat.


Fikiran Syafi mula menerjah ke alam sewaktu dia ditegur oleh kenalan dari kampus lamanya. Di situlah bermulanya perkenalan Syafi dan Aleef. Syafi ketawa kecil. Mengimbau betapa pada mulanya dia tidak menyukai Aleef.

No comments: